MANA PERGI SELUAR DALAM DIA

Assalammualaikum . . .

Untungnya bersekolah apabila dalam seminggu hanya 3 hari memerlukan along Izz berkemeja putih, bertali leher dan berseluar sekolah. Selebihnya 2 hari along Izz akan berpakaian sukan kerana pada hari Selasa along Izz ada kelas Pendidikan Jasmani dan pada hari Rabu pula ada Pendidikan Kesihatan. 

Berbeza dengan kelas KAFA yang hanya 4 hari seminggu namun perlu berkemeja biru, berseluar sekolah dan bersongkok. Setiap hari, mama Izz lah yang akan menghantar along Izz sehingga ke dewan perhimpunan. Aku dan angah Izz kebiasaannya hanya menunggu di dalam kereta di tepi jalan sahaja. 

Setiap hari ditempat yang sama. Yang berbeza hanya pakaian mama Izz sahaja.

Menggalakkan along Izz supaya dia seronok bersekolah, mama Izz setiap hari akan menyarungkannya stokin, memakaikannya kasut, memakaikannya tali leher, memberi pesanan dan mereka akan beriringan bersama sehingga ke dalam sekolah. Betapa hanya itulah masa yang ada untuk mama Izz curahkan segalanya kerana umum tahu yang mama Izz kebanyakan masanya di pejabat dan wad.

Melihat anaknya kemas, memuaskan hatinya. Lupa pada penat lelahnya.

Lagipula sesi tengahari along Izz sudah boleh berdikari sendiri menukar pakaian sesi pagi dengan sesi KAFA pula. Aku dan mama Izz sudah tidak perlu datang awal lagi, sudah boleh lewatkan sedikit masa kedatangan. Itupun kerana ingin menghantar makanan disamping melihatnya melakukan semuanya sendiri dan ambil beg sesi pagi.  Alhamdulillah . . . 

Tugas menghantar angah izz ke taska pula aku yang akan uruskan segalanya. Setiap petang along Izz dan angah Izz akan bertanya, "Papa, hari ni sapa balik?" dan setiap kali aku menjawab, "Hari ini opah yang balik", riak wajah mereka akan sedikit berubah. 

Bukan kerana mereka tidak sayangkan opah Izz, namun mereka lebih merindui kepulangan mama Izz. Aku yakin semua ini hanyalah sementara. Sementara menanti adik Izz sembuh, inilah yang perlu kami semua lalui. Inshaa Allah. 

Along Izz sememangnya ada sahaja yang berlaku setiap hari yang pada aku rasa hendak marah pun ada namun bila difikirkan kembali, hendak tergelak rasanya. 

Hari Selasa pakai 2 jam tangan, hilang 1 jam tangan. Petangnya pula hilang dompet buat kali ke-2 dan semalam? Boxer pulak yang hilang. Aku tidak tahulah kemana perginya sebabnya bila balik ke rumah tengok dalam beg pakaian kotor hanya ada baju sukan dan seluar sukan sahaja. Bila ditanya, along Izz hanya menjawab, "Dah takde". 

Cebik dan mencebiklah mama Izz. Aduhai!


2 Comments

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!

  1. Assalam papa izz,
    kagum sungguh iol dengan mama izz
    along & angah izz pun pandai bawak diri
    alhamdulillah
    moga segalanya dipermudahkan AMIN

    ReplyDelete
  2. Wassalam.. Terima kasih. Aminnn, semoga dimakbulkan doa2 semua. Inshaa Allah

    ReplyDelete

Post a Comment

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!

Previous Post Next Post