SEDIH DAN GEMBIRA

Sedih dan gembira. Itu keadaannya bila bersama dengan adik Izz. Aku kalau diberi pilihan, aku suka menjaganya waktu dia berjaga. Melihatnya bermain-main, meneroka pelusuk rumah, bergelak ketawa, berlari-lari berkejaran bersama along Izz dan angah Izz. Tak dapat lihat langsung adik Izz sedang sakit. Nampak dia seperti kanak-kanak normal yang lain. Aku pula gembira melihat keadaan itu. Cuma aku perlu perhatikan geraknya takut-takut dia menarik tiub CVL dan Gastro ataupun gurauannya bersama along Izz dan angah Izz membahayakan tiub-tiub berkenaan. Selainnya, aku berikannya kebebasan. 

TETAPI, perasaan sering bercampur baur bila aku melihatnya sedang tidur. Memang sudah menjadi kebiasaan, selepas Maghrib aku yang ambil alih untuk menjaga adik Izz di dalam bilik semasa dia sedang On Nutrisi Parenteral (TPN). Mama Izz akan uruskan hal-hal berkaitan along Izz dan angah Izz untuk sekolah dan taska. Selepas Isyak biasanya barulah mama Izz akan menggantikan aku. 

Gembira dan sedih
Aku tersentuh bila melihat wajahnya begini.

Biasanya, adik Izz akan tidur semasa dalam jagaan aku. Aku sebolehnya cuba alihkan pandangan aku daripada melihatnya. Sebabnya apabila aku melihat wajahnya yang sedang tidur, aku akan teringat semula semua yang terjadi. Dari mula sehingga ke hari ini. Betapa aku kasihankannya. Mengalir air mata dibuatnya. Budak sekecilnya diduga dengan penyakit. Pergerakannya terbatas, makan dan minum terhad, perjalanan yang radius tidak boleh jauh. Allahuakbar. 

Aku sering terbayang 'bagaimanalah dia nanti bila aku tiada?'. Itulah apa yang aku rasa bila aku lihatnya tidur. Apa pun, aku perlu teruskan jua apa yang terdaya demi nya. Berdoa sentiasa demi kesembuhannya. Mengharapkan sinar bahagia buatnya. 

In Shaa Allah, Tuhan akan bantu kami. 


Post a Comment

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!

Previous Post Next Post