BILA DIA DEMAM, BATUK, SELSEMA DAN MUNTAH

Penyakit mudah datang tetapi susah hendak pergi | Sejak beberapa hari ini, kesihatan adik Izz sedikit terganggu. Tidak cukup dilanda demam yang sekejap kebah sekejap tidak, batuk serta selsema juga mendatanginya. Bila adik Izz kurang sihat, perkara pertama yang tergambar difikiran adalah mengenai tiub Central Venous Line (CVL) nya. Kali terakhir aku dan mama Izz lakukan dressing CVL adik Izz untuk Nutrisi Parenteral (TPN) memang tidak menunjukkan apa-apa tanda tidak elok langsung. Gauze bersih, CVL kering dan benang jahitan juga masih elok terjahit. Jadi apa sebab dia demam tak baik-baik, batuk tak kurang-kurang dan selsema meleleh tak henti-henti?

Beberapa malam adik Izz tidur tidak lena. Dia kerap terjaga bila hidungnya tersumbat, kemudian dia akan batuk-batuk. Teruk pula tu. Mama Izz yang menjaga adik Izz pastinya akan alami gejala tidak cukup tidur. Stail adik Izz bila rasa tidak selesa, dia akan menangis. Bila dia menangis, bukanlah nangis yang biasa-biasa tetapi menangis senangis-nangisnya. Sampaikan opah Izz yang tidur dibilik sebelah pun akan terjaga, aku yang tidur diruang tamu bersama along Izz dan angah Izz pun turut terjaga. Adik Izz menangis memang susah hendak berhenti, dan sesiapa pun susah hendak memujuknya. Hanya orang terakhir bersamanya ataupun orang pertama yang dilihatnya ketika terjaga sahaja yang adik Izz mahukan. Sudah tentunya mama Izz.

Demam tak baik, batuk tak kurang dan selsema tak susut, datang pula 'encik muntah'. Bila muntah-muntah datang, ia sudah seperti kemuncak bagi kami untuk take further action. Mama Izz terus telefon doktor adik Izz di wad KK4, Institut Pediatrik beritahu keadaan adik Izz. Memandangkan adik Izz masih sedang running TPN, doktor sarankan pagi ini bawanya terus ke wad untuk rawatan susulan. Tapi andaikata malam tadi demamnya tinggi sehingga kebiruan, tutuplah TPN dan terus ke emergency. Alhamdulillah, walaupun adik Izz kerap muntah malam tadi, tetapi demamnya belum sampai ke tahap seperti dikatakan doktor.

Keadaannya agak lemah.

Dan pagi ini, terus aku bawanya ke Institut Pediatrik HKL. Aku harap, tiadalah yang serius. Serius aku katakan, demam dan muntah adik Izz memang agak menakutkan. Demamnya bila tinggi, akan jadi sangat tinggi sehingga menggigil. Muntahnya pula bila sudah start muntah, memang adik Izz akan muntah habis-habisan. Kadangkala muntah putih, kadangkala muntah kuning dan kadangkala muntah hijau. Siapa yang tidak risau bila anak di tahap itu.

Kalau ikutkan kata pakar, bila adik Izz demam terus pergi emergency. Bila adik Izz selsema terus pergi emergency. Bila adik Izz batuk terus pergi emergency dan bila adik Izz muntah terus pergi emergency. Semoga bulan baik bulan Ramadhan ini berikan sinar kesembuhan buat adik Izz.

Inshaa Allah.


Post a Comment

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!

أحدث أقدم