LUKA LAMA BELUM SEMBUH

Luka lama belum sembuh | Bukanlah lama sangat lukanya. Belum pun sampai 2 minggu lagi. Sebelum pembedahan ke 14, tiub CVL adik Izz di dada kirinya sudah pun dicabut dan lukanya kerap dicuci menggunakan 'Water for irrigation' dan ditutup dengan gauze. Masih lagi kemerah-merahan dan sehingga hari ini ia masih belum sembuh sepenuhnya. Pada pembedahan ke 15 semalam, tiub CVL adik Izz di dada kanannya pula sekali lagi dicabut dan digantikan dengan tiub CVL yang baharu. Tiub baru dibuat di dada kirinya semula dengan lokasinya bawah sedikit berbanding luka lamanya. Di bahagian leher pula, luka lama di bahagian kanan juga masih belum sembuh dan semalam ditambah luka baru di bahagian kanan lehernya. Mama Izz kena kerja keraslah sedikit kerana perlu menjaga 2 bahagian leher adik Izz dan 3 bahagian dada adik Izz ditambah pula dengan 1 bahagian di perut adik Izz (tiub suapan Gastrostomy). 

Central Venous Line (CVL)
Habis bertebuk-tebuk dan bertampal-tampal di badannya. 

Selepas pembedahan semalam, adik Izz agak merengek mungkin kerana masih sakit. Nutrisi Parenteral (TPN) terus diberi petangnya, kali ini bagi tempoh selama 20 jam. Ditambah lagi dengan pemberian antibiotik melalui line iv drip di tangan kanannya. Pemberian susu melalaui tiub suapan Gastrostomy terpaksa mama Izz hentikan sementara kerana semalam ada keluar cecair hijau melalui tiub berkenaan. Mungkin disebabkan komplikasi selepas pembedahan sebabnya adik Izz juga muntah berwarna kehijauan. 

Sedih juga dengan keadaan adik Izz yang terpaksa menanggung ini semua. Tapi, aku percaya dia seorang yang kuat disamping ada mama Izz bersamanya untuk menjaganya. Aku harap beberapa hari di wad ini dapat mengembalikan kekuatan adik Izz dan kesakitannya beransur sembuh. Janganlah ada apa-apa berlaku dalam masa terdekat ini. Sekurang-kurangnya jika ditakdirkanNya, biarlah luka-luka yang ada sembuh dahulu. 

Tak tahan melihatnya berkeadaan begini. Dengan berat badannya yang semakin menurun, keadaan fizikalnya yang jelas susut dan hilangnya selera makannya. Susah hati melihatnya. Aku yang melihatnya sudah berasa sedih, mama Izz yang menjaganya bagaimanalah perasaannya? 

Aku pasrah.


1 Comments

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!

  1. semoga Allah memberi kesehatan dan kesembuhan... aamiin

    ReplyDelete

Post a Comment

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!

Previous Post Next Post