JANGAN SESEKALI MENGADU! JANGAN!

Lihat sahaja, dengar sahaja, turuti sahaja, diam sahaja ... dan jangan buat apa-apa. Dan ... jangan sesekali mengadu. Ok, ini sepatutnya penutup tapi sengaja aku jadikannya permulaan entri. Pengenalannya begini. Anak aku, adik Izz sudah lama di wad dan sudah lama kerap keluar masuk wad. 

Seingat aku, sejak tahun 2013 sehingga terkini, sudah 13 kali admit ward. Ada yang lama dan ada yang sekejap. Sejumlah 682 hari (setakat entri ditulis) masanya dihabiskan di wad. Umurnya baru 3 tahun. Biasalah bila berada lama di wad, banyak perkara yang dapat disaksikan dan banyak perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati.

Terbaru, adalah terjadi sesuatu yang pada aku ianya agak melampau yang memerlukan aku untuk ambil tindakan lebih tinggi. Biasanya, aku cuma beritahu kepada yang bertanggungjawab. Tapi bila aku rasa itu agak lebih, aku tergerak untuk adukan kepada pihak yang lebih bertanggungjawab. 

Aku gunakan SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu). Pertama kali aku gunakan sistem ini. Apa sebenarnya SISPAA ni?

Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPAA)

"Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPAA) adalah merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan penyampaian dari masa ke semasa yang telah dimudahcara oleh teknologi terkini.

SISPAA dapat mempercepatkan dan memudahkan proses penyampaian Maklum Balas kepada Agensi Kerajaan kerana ianya boleh dicapai oleh Pengguna pada bila-bila masa sekiranya terdapat capaian internet."

Mudah saja sistem ini. Lodge report, ambil maklum, beri bukti (attachment), lokasi, pihak terlibat, isu dan pelbagailah lagi dan semuanya akan panjangkan kepada Jabatan/ Bahagian berkaitan. Dan beberapa hari kemudian aku dapat emel dari Pegawai Perhubungan Awam berkaitan menyatakan,

"Terlebih dahulu pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih atas maklum balas yang dikemukakan tuan mengenai perkara di atas. Perkara ini akan disiasat dan pihak kami akan menghubungi tuan selanjutnya.

Pihak kami sentiasa mengalu-alukan maklum balas daripada tuan pada masa hadapan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan perawatan.

Segala kesulitan yang dihadapi tuan amatlah dikesali. Adalah menjadi hasrat kami untuk memastikan semua pihak yang datang berurusan di hospital mendapat rawatan dan layanan sebaiknya."

Aku fikir apa yang aku buat ini, segalanya akan menjadi bertambah baik. Tapi, tidak. Indah khabar dari rupa. Apa yang aku buat ini sebenarnya LEBIH MEMBURUKKAN KEADAAN. Rasanya, tak payahlah aku ceritakan apa yang "lebih memburukkan keadaan" itu. Sebab itu aku kata, 

"Lihat sahaja, dengar sahaja, turuti sahaja, diam sahaja ... dan jangan buat apa-apa. Dan ... jangan sesekali mengadu"

Post a Comment

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!

أحدث أقدم