KURNIA

Bayangkan jika anak kesayangan anda diberitahu bahawa dia tiada harapan, malah anak anda akan mati. Semua ini berlaku, dan dari situlah kehidupan kami sekeluarga berubah dengan serta-merta! Inilah sekelumit kisah hidup adik Izz.


Kisah ini bermula pada November 2013 apabila adik Izz (ketika itu berumur 7 bulan) secara tiba-tiba mengidap penyakit usus kronik, atau Short Bowel Syndrome atau Sindrom Usus Pendek. Simptom penyakit yang dialami adik Izz bermula dengan demam panas dan muntah-muntah. Pada awalnya, kami menyangka ia hanyalah demam dan penyakit biasa. Namun apabila adik Izz mula hadapi kesukaran bernafas dan tidak sedarkan diri, adik Izz terus dimasukkan ke ICU.

Ketika di ICU, keseluruhan tubuh adik Izz menjadi kehitaman dengan perutnya yang semakin mengembung. Badannya menjadi begitu lemah dan kesihatannya bertambah teruk hari demi hari, dan tidak sedarkan diri. Pembedahan pertama dilakukan dan adik Izz disahkan mengalami usus terbelit (twisted more than 4 times). Atas sebab-sebab tertentu, adik Izz ditukarkan pula ke Hospital K dan mendapatkan rawatan intensif di sana.

Ketika diberitahu tentang keseriusan penyakit adik Izz, dan peluang untuk hidup tipis, kami memang tidak boleh terima. Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ini. Hanya air mata dan doa yang tidak terputus sahaja yang menjadi peneman saban hari. Beberapa siri pembedahan dilakukan, namun hanya 5cm sahaja usus adik Izz yang dapat diselamatkan. Disebabkan itulah adik Izz memerlukan TPN (Nutrisi Parenteral).



TPN For Life

Usus yang pendek akan sebabkan adik Izz kekurangan nutrisi kerana dia tidak dapat mencerna dan menyerap dengan secukupnya. Oleh kerana adik Izz akan bergantung dengan TPN (Nutrisi Parenteral) for life, Hospital K sarankan Home Parenteral Nutrition (HPN) Program. Iyalah, takkan adik Izz nak habiskan seumur hidupnya di hospital kan? Jadi HPN program bolehkan adik Izz yang menerima rawatan di hospital, menerima rawatan di rumah pula. (Boleh kan kalau skip cerita pasal HPN ni? hehehe). 

Untuk sampai ke tahap hari ini, adik Izz telah jalani 27 kali pembedahan, 4 kali prosedur di dewan bedah dan habiskan masanya selama 880 hari di wad. Adik Izz kini masih lagi dengan HPN Program dan dia memerlukan TPN setiap hari selama 10-12 jam. Bolehlah dikatakan episod sedih dan fasa pahit kehidupan adik Izz mungkin banyak yang sudah berlalu, namun kami tak pernah melupakan jasa ramai ibu bapa, anggota keluarga, teman-teman dan orang yang kami tidak kenali yang sanggup dan banyak membantu kami.

Kami berharap, kepada ibu-ibu bapa-bapa yang mempunyai anak berpenyakit kronik dan mempunyai masalah kesihatan, usahlah berputus harap dan perlu kuat dan sabar untuk mengharunginya. Carilah sokongan dan bantuan yang disediakan, usahlah memendam rasa seorang diri. Kami percaya, Allah memberikan semua ujian, dan Allah jugalah yang akan memberikan kita jalan kemudahan dan jalan penyelesaian. Mesti kekal positif.
Share:

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan jejak anda, Terima Kasih!